Allahu... Pelajar 10 tahun antara 2 maut nahas lori rempuh 4 kereta di Jalan Dengkil Banting

 


DUA orang maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Banting Dengkil, Sungai Manggis, Banting, Selangor pada Isnin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 7.03 pagi Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pada awalnya, sebuah lori melanggar empat buah kereta sehingga remuk teruk.

Antara kereta yang terlibat adalah dua buah kereta jenis Honda City, sebuah Perodua Bezza dan sebuah lagi kereta tidak dapat dikesan.

Sebuah kereta remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan.

Ketika kejadian, lori tersebut telah menghempap kereta Perodua Bezza yang dinaiki oleh dua orang mangsa di dalamnya menyebabkan mangsa tersepit.

Pihak bomba yang berada di tempat kejadian terus bertindak melakukan kerja dalam usaha untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

 

"Mangsa pertama dikeluarkan pada pukul 8.45 pagi diikuti mangsa kedua kira-kira sejam kemudian iaitu pada 9.40 pagi dan mangsa terakhir pada 9.45 pagi," katanya.

Mengulas lanjut, kejadian itu mengakibat seorang mangsa wanita berusia 20-an cedera di kaki dan dihantar ke Hospital Banting.

Manakala, dua mangsa iaitu seorang perempuan berusia 40-an dan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun tidak dapat diselamatkan selepas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post