Jiran Kerap Kata Muka Sama, BFF Berbangsa India Rupanya Kakak Kandung

 


Madam Fatimah Mohidin (71) dan Madam Thangah Koh (72), dua orang wanita berlainan bangsa yang sudah menjadi kawan rapat sejak kecil lagi. Jiran-jiran sering berkata wajah mereka berdua nampak sangat mirip sehingga disangka sebagai adik beradik. Seorang berbangsa Melayu, seorang lagi pula berbangsa India. Mana mungkin mereka mempunyai pertalian kandung?



Pada usia 5 & 2 bulan, mereka berdua diserahkan kepada orang lain

Namun takdir akhirnya membongkarkan kisah lama yang sudah dirahsiakan daripada pengetahuan mereka. Rupanya dahulu, mereka berdua terlahir dalam sebuah keluarga berbangsa Cina yang kemudiannya diberi kepada orang lain sebagai anak angkat. Sewaktu bayi, Madam Thangah kerap tidak sihat dan keadaan itu dikhuatiri membawa nasib malang kepada bapanya. Atas saranan tukang tilik, Madam Thangah atau nama sebenarnya, Koh Siew Kiang, diserahkan kepada satu pasangan India yang belum mempunyai zuriat. Setahun kemudian, Madam Fatimah (Koh Siew Lang) pula dilahirkan dan saat itu, sebelah ibu jari kakinya mempunyai saiz lebih besar. Sekali lagi, tukang tilik berkata ia bakal membawa nasib malang kepada si ibu pula. Maka seawal usia 2 bulan, Madam Fatimah turut diserah sebagai anak angkat kepada pasangan India yang sama. Namun atas kekangan kewangan untuk membesarkan 2 anak serentak, mereka kemudiannya menyerahkan Madam Fatimah kepada sebuah keluarga berbangsa Melayu.

“Jiran selalu cakap muka kami sama & tanya kami berdua adik beradik ke? Saya Melayu, dia India, macam mana adik beradik pula?”

Ketika zaman kanak-kanak, Madam Fatimah & Madam Thangah bermain sama-sama setiap hari

Sepanjang membesar, keluarga angkat kerap menggalakkan mereka berdua untuk bermain sama-sama. Namun Madam Fatimah dan Madam Thangah tidak pernah tanya apa sebabnya. Sampailah ke usia remaja ketika mahu mendaftar kad pengenalan diri, satu persatu kebenaran mula terbongkar. Di usia 20 tahun, Madam Thangah terpaksa mencari semula keluarga kandungnya bagi urusan mendapatkan kerakyatan memandangkan proses serahan anak angkat terdahulu tidak mempunyai dokumen hitam putih. Ditemani ibu angkatnya, mereka berjaya menemui alamat rumah keluarga kandung berdasarkan informasi penduduk sekitar. Apabila pintu rumah dibuka dengan kelibat 2 wanita berbaju tradisional India, awalnya si ibu kandung menyangka 2 individu itu tersalah rumah. Namun setelah sedar siapakah gerangan Madam Thangah, mereka gagal menahan air mata.

Semuanya sudah berdamai dengan takdir

Rupanya selama ini, pihak keluarga kandung sangat menyesal kerana sudah menyerahkan anak mereka pada orang lain. Hinggakan, mereka sendiri pernah mengiklankan pencarian 2 anak itu di surat khabar Cina namun tidak berhasil. Pada hari pertemuan yang sama, bapa kandung mendedahkan bahawa Madam Fatimah merupakan adik kepada kepada Madam Thangah. Apa yang sudah terjadi, semua itu diterima dengan lapang dada apalagi pihak keluarga angkat sudah menjaga 2 anak itu dengan penuh kasih sayang. Meskipun dibebani rasa bersalah, keluarga kandung tidak terlintas untuk merampas anak-anak itu semula. Lebih mengharukan, hubungan kekeluargaan sesama mereka terus terjalin dengan sangat baik. Setiap kali musim perayaan tiba, masing-masing akan berkunjung dan meluangkan masa bersama.

KREDIT : Portal The Straits Times

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post