Pesawat Japan Airlines terb4kr di Lapangan Terbang Haneda Tokyo, Bawa Kira-kira 300 Penumpang

 


TOKYO: Sebuah pesawat Japan Airlines dilaporkan terbakar di Lapangan Terbang Haneda di Tokyo dan anggota bomba dilaporkan sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran ketika ini.

Lapor NHK, Japan Airlines memaklumkan pesawat JAL516 terbabit dalam perjalanan dari Lapangan Terbang New Chitose, Hokkaido menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda.

Api yang marak kelihatan menjulang keluar dari tingkap-tingkap dan bahagian atas pesawat ketika ia masih lagi dalam pergerakan, menurut laporan media tempatan dan imej yang kini tersebar di media sosial.

Dilaporkan, pesawat terbabit dipercayai terlanggar sebuah pesawat pengawal pantai Jepun sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda.

Ketika ini kerja-kerja pemadaman masih diteruskan.

Sementara itu, susulan insiden, semua pesawat yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang itu dilencongkan ke lokasi lain.

Berdasarkan data daripada Flight Radar, penerbangan yang dijadualkan tiba sebelum dan selepas 6.30 petang (waktu tempatan) semuanya diarahkan mendarat di lapangan terbang lain.

Hampir 30 pesawat yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang itu dilencongkan ke beberapa lokasi lain seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo Narita, Nagoya Chubu Centrair dan Osaka Kansai.

Selain itu, penerbangan dari beberapa lokasi seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Kanada, termasuk dari Jepun turut dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Okayama, Fukuoka, Matsuyama Kagoshima dan Kumamoto.

Lima anak kapal yang dipercayai berada dalam pesawat pengawal pantai dilaporkan masih tidak diketahui nasib mereka.

Portal Reuters melaporkan pesawat itu dalam perjalanan untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post