'Saya memohon maaf pada siti nurhaliza.! Allahuakbar, Hebat Sampai Mufti Minta Maaf Sebab Tegur Konsert Dekat Ramadhan

 


“Saya tidak sama sekali mempertikaikan tentang niat atau tujuan di sebalik penganjuran konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza sebaliknya fokus saya hanya berkaitan tarikh konsert yang terlalu hampir dengan bulan Ramadan”. Itu penjelasan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Menurut beliau, mengadakan konsert pada hari menghampiri bulan Ramadan adalah melalaikan umat Islam daripada menumpukan perhatian kepada aspek pembangunan rohani.

Beliau berkata, sepatutnya dalam waktu sedemikian, umat Islam digalakkan untuk  membuat persiapan rohani secukupnya bagi menyambut kedatangan bulan yang mulia.

“Bagaimanapun, saya hanya memberi pandangan peribadi serta mengambil kira kesan konsert itu ke atas umat Islam di sudut rohani bukan sekadar ingin mencapai kepentingan segera.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa pandangan peribadi seorang mufti tidak mengikat mana-mana individu muslim atau bukan muslim.

“Ini kerana mufti bukanlah seorang yang maksum atau terpelihara daripada kesalahan dan pandangan mufti bukan seperti ayat al-Quran atau hadis sahih yang tidak boleh dibantah oleh mana-mana penganut agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Salim, tegurannya secara ikhlas demi kebaikan umat Islam bukan untuk mencari populariti atas kepentingan diri.

“Terserahlah kepada pihak berkaitan dan orang ramai sama ada mahu menerima pandangan yang diberikan atau menolaknya berdasarkan pertimbangan masing-masing.

“Cuma perlu diketahui, sesuatu amalan atau tindakan seseorang Muslim dinilai di sisi Allah SWT berdasarkan niat yang ikhlas daripada pelakunya dan betul pula caranya mengikut syariat.

“Ini bermaksud tidak memadai melakukan sesuatu hanya dengan niat yang baik dan ikhlas sahaja tetapi caranya juga mestilah sesuai dengan hukum syariat,” katanya.

Dalam masa sama, Wan Salim turut mengambil peluang  untuk menerangkan bahawa beliau amat berlapang dada tentang hiburan dan aktiviti seni umumnya.

“Bagi saya, agama Islam sebagai cara hidup yang selari dan seraksi dengan keadaan semula jadi manusia (fitrah) tidak mungkin menentang hiburan dan kesenian yang bersih (al-funun al-bari’ah) asalkan ia tidak mendorong kepada maksiat dan tidak melalaikan daripada kewajipan kepada Allah dan kepada sesama manusia.

“Inilah pendirian saya yang konsisten walaupun saya tahu ada sebahagian ulama yang berpandangan bahawa hukum nyanyian dan muzik adalah haram serta berdosa.

“Akhir kalam, menyedari kekerdilan diri sebagai seorang hamba Allah saya dengan segala keinsafan memohon maaf kepada Datuk Seri Siti NurHaliza dan Yayasan Nurjiwa kerana teguran saya itu dibuat secara terbuka dan menimbulkan polemik yang tidak dijangka,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza nekad meneruskan penganjuran konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung tiga hari sebelum menyambut bulan Ramadan.

Menerusi kenyataan rasmi syarikat yang turut dinaungi Siti iaitu Yayasan Nurjiwa, pihaknya menjelaskan tujuan utama konsert diadakan untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada mangsa perang di Palestin yang memerlukan bantuan segera.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan teguran Mufti Pulau Pinang agar Siti Nurhaliza menunda konsert solo yang dijadualkan pada 9 Mac depan sebagai menghormati ketibaan bulan Ramadan.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post