Aliff Aziz dan Ruhainies tampil mohon maaf, bakal perjelas kejadian sebenar ditangkap khalwat

 


SELEPAS mengambil langkah berdiam diri, pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies akhirnya tampil bersuara berhubung ditangkap berkhalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada awal pagi Sabtu.

Aliff, 33, berkata, dia memohon maaf atas apa yang berlaku dan tidak akan mencari sebarang alasan untuk membela dirinya susulan kejadian tersebut.

Bagaimanapun jelas Aliff, dia akan tampil menjelaskan kejadian sebenar dengan terperinci dalam masa terdekat selepas merasakan terdapat beberapa fakta kurang tepat dan ditokok tambah daripada kejadian sebenar.

Foto mereka masuk ke tempat kejadian tular di media sosial.

"Bukan ingin menegakkan benang yang basah, sekadar berkongsi kepada yang ingin mendengar Insya-Allah.

"Selebihnya saya memohon maaf atas apa yang terjadi dan semoga keterangan yang akan saya sampaikan nanti sedikit sebanyak dapa menerangkan tanggapan semua. Insya-Allah," katanya.

Aliff berkongsi perkara itu menerusi Instastory miliknya pada Ahad.

Jelas Aliff, dia sedar insiden tersebut sepatutnya boleh dielakkan namun tidak menyalahkan orang ramai terhadap khabar angin yang bertebaran walaupun terdapat beberpa perkara tidak benar disebarkan.

"Berdasarkan situasi yang berlaku semalam, terdapat banyak spekulasi dan laporan yang diperbesar-besarkan mengenai apa sebenarnya yang berlaku.

"Tetapi saya juga faham tanggapan semua kerana keadaan tersebut telah menimbulkan syak wasangka yang boleh menimbulkan fitnah.

"Seharusnya keadaan yang dapat dielak akan tetapi saya akan memberikan keterangan tentang apa berlaku sebenarnya nanti bagi mengelakkan lebih banyak salah faham tentang apa yang terjadi," luahnya.

Sementara itu, Ruhainies menerusi kenyataan berasingan di Instagram miliknya senada dengan Aliff tentang khabar angin tidak tepat mengenai kejadian yang sedang hangat diperkatakan itu.

Aliff dan Ruhainies masing-masing bakal kongsi kisah sebenar.

Aktres itu juga berharap semua spekulasi mengenai dirinya dihentikan dan akan memberi penjelasan apabila sudah bersedia kelak.

"Bagi menjawab segala spekulasi atas apa yang sedang diperkatakan di semua platform sosial media, saya dengan rendah diri ingin nyatakan di sini, ada beberapa kenyataan kurang tepat telah tersebar.

"Walaubagaimanapun saya ingin memohon maaf kepada semua atas apa yang terjadi.

"Saya juga berharap spekulasi ini dapat dihentikan sehingga saya memberikan kenyataan bagi mengelakkan daripada kekeliruan dan salah faham. Insya-Allah," ujarnya.

Pada kejadian itu, Aliff dan Ruhainies ditahan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan dibebaskan dengan jaminan sekitar pukul 2 petang Sabtu.

Aliff dan Ruhainies berlakon dalam drama yang sama.

Kedua-dua mereka dilaporkan akan didakwa di Mahkamah Syariah atas dakwaan khalwat pada tarikh yang akan ditetapkan.

Sebelum ini, adik kepada Bella Astillah iaitu Didi Astillah mengesahkan individu dicekup berkhalwat adalah abang iparnya.

Didi bagaimanapun meminta semua pihak memberi ruang kepada isteri Aliff iaitu Bella Astillah sebelum memberi sebarang kenyataan kerana masih dalam keadaan terkejut.

Ini bukan pertama kali Aliff berhadapan isu kontroversi malah pernah beberapa kali berlaku curang terhadap Bella.

Malah pasangan itu pernah bercerai pada 2019 akibat sudah tidak tahan dengan sikap pelakon itu.

Bagaimanapun pasangan tersebut mengambil keputusan kembali rujuk ketika dalam tempoh edah.

 

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post