Boikot Starbucks Malaysia hanya merugikan rakyat negara ini - Vincent Tan

 


Rakyat Malaysia diseru supaya menghentikan kempen memboikot Starbucks Malaysia kerana tindakan itu hanya akan merugikan rakyat negara ini sendiri.

Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, berkata semua pihak perlu faham bahawa Starbuck Malaysia adalah syarikat milik negara ini.

"Saya rasa mereka semua yang memboikot Starbucks Malaysia harus tahu bahawa ia adalah syarikat milik Malaysia.

"Kami tidak mempunyai seorang pun warga asing yang bekerja di ibu pejabat. Di kedai, 80 hingga 85 peratus pekerja adalah Muslim. Boikot itu tidak menguntungkan sesiapa," katanya kepada pemberita semalam.

Vincent berkata, situasi berkenaan semakin berubah dan mendapati sedikit peningkatan dalam jualan syarikat minuman kopi itu.

Beliau juga menjangkakan, pada suku ketiga tahun kewangan 2024 akan menunjukkan peningkatan dalam jualan.

Terdahulu, bagi suku kedua TK24, Berjaya Food Bhd melaporkan penurunan pendapatan suku-ke-suku tahun sebanyak 35 peratus kepada RM183 juta dan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti kira-kira RM42 juta.

"Ya, ia mempunyai sedikit impak kepada kami tetapi kini sekurang-kurangnya ia bertambah baik dan seperti yang saya katakan ia semua milik rakyat Malaysia. Ia dikendalikan oleh rakyat Malaysia. Ia hanya francais, ia bukan milik orang Amerika," katanya.

Vincent Tan berada di Okinawa, Jepun untuk majlis pecah tanah Four Seasons Resort & Private Residences.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post