Itu bukan cara yg di ajar Dalam Agama.. Ust Syamsul dedah ini sepatutnya dilakukan..



 Penceramah bebas, Syamsul Debat menyatakan bahawa agama Islam tidak mengajar mana-mana pihak untuk meminta maaf sehingga menjatuhkan maruah diri lebih-lebih lagi sesama manusia.

Ulas isu sedang viral

Memetik laporan dari Harian Metro, Syamsul Debat yang mengulas isu isteri kepada penyanyi rap yang meminta seorang pemuda melutut meminta maaf susulan memaki anaknya yang baru sahaja berusia 60 hari.

Syamsul Debat jelaskan meminta & memberi maaf tidak perlu ada syarat

Ujarnya, memohon maaf dan memberi kemaafan adalah perkara paling mulia di sisi Allah namun berat untuk dilakukan.

Jadi, tindakan meminta maaf dan memaafkan seharusnya tidak perlu meletakkan sebarang syarat sehingga boleh mengaibkan dan menjatuhkan maruah seseorang.

“Selalu dalam ceramah, saya cakap minta maaf dan memaafkan ini syaratnya satu saja iaitu tidak perlu ada sebarang syarat.
“Maknanya, kalau hendak memaafkan orang, jangan letak syarat, contohnya ramai orang kita ini kalau minta maaf kena macam itu atau macam ini sedangkan itu bukan caranya.
“Cara Islam, yang meminta maaf dan memaafkan perlu ikhlas dan sama-sama merendahkan diri bukannya sampai menjatuhkan maruah orang lain,” katanya.

Syamsul Debat pesan jangan sampai memalukan orang

Jelasnya lagi, perkara sebegitu sepatutnya tidak berlaku kerana ia tidak dianjurkan dalam Islam dan masih lagi dalam bulan Syawal.

“Tak kisah hendak meminta maaf itu secara terbuka tetapi jangan sampai memalukan orang kerana Islam tak ajar macam itu.
“Mungkin kita hendak cerita dekat orang lain dia itu buat apa, tetapi apa yang lebih penting kita hendak pelaku itu meminta maaf.
“Bukan bermakna yang meminta maaf itu juga perlu meletakkan diri sampai macam itu sekali kerana sepatutnya pihak yang memaafkan juga perlu sama-sama merendahkan diri,” katanya.

Video Caprice jadi perhatian

Terdahulu, video yang dikongsikan Caprice telah menjadi perdebatan ramai susulan memuat naik momen sewaktu seorang pemuda bertemu isterinya, Farra Inalis susulan menghantar mesej menghina anak mereka, Airiel Qashaf dengan kata-kata kasar.

Disebabkan marah anaknya disamakan dengan haiwan dan dajjal kecil, Farra Inalis meminta pemuda terbabit berlutut meminta maaf sebelum ditenangkan Caprice.

 

Caprice telah membawa pemuda berusia 23 tahun itu ke masjid dan bersalaman sebelum menghulurkan sedikit wang bagi diberi kepada ibunya.

Perkongsian pempengaruh tersebut telah memperoleh pelbagai respon daripada warganet. Ada yang merasakan tindakan pasangan suami isteri itu berlebihan namun ada juga yang menyokong apa yang dilakukan oleh mereka bagi memberi pengajaran kepada individu yang biadap.

Sumber: Harian Metro (Mahaizura Abd Malik)

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post