4 suspek pecah rumah Kieda Crepe direman, RM800,000 barang kemas Kieda Crepe hanya berbaki RM40,000



 Empat sekawan ditahan polis bagi siasatan kes kecurian barang kemas dari rumah usahawan makanan dan pempengaruh media sosial, Kieda Crepe dekat Pokok Sena di sini, pada 25 April lalu.

Suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 pagi tadi di hadapan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Zulkeflee Sulaiman, berkata keempat-empat suspek sebelum itu menghadiri perbicaraan kes pecah rumah yang dihadapi mereka.

"Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk direman bagi membantu siasatan kes pempengaruh media sosial.

"Mahkamah membenarkan polis menahan reman kesemua suspek selama enam hari bermula hari ini hingga Selasa," katanya yang turut memaklumkan polis membuat rampasan barang kemas bernilai puluhan ribu ringgit terhadap suspek.

Difahamkan, polis merampas barangan kemas bernilai RM40,000 dipercayai milik usahawan tersebut selepas sebahagian besarnya sudah dijual .

Zulkeflee berkata, polis akan memanggil Kieda untuk membuat pengecaman barang kemas yang dirampas terbabit.

"Selain itu, dengan tangkapan empat suspek ini kita percaya berjaya selesaikan kes pecah masuk dan larikan barang kemas usahawan (Kieda) itu," katanya.

Terdahulu, media melaporkan usahawan makanan dan juga pempengaruh media sosial, Kieda Crepe mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM800,000 selepas peti besi mengandungi barangan kemas miliknya dilarikan perompak yang memecah masuk rumahnya di Pokok Sena, di sini pada 25 April lalu.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Kieda atau nama sebenarnya Siti Nur Khalieda Yusra,27 menerusi platform Tiktok, dengan ditemani suaminya, Muhammad Hilmi Mohd Zaki.

Berdasarkan perkongsian dalam video berdurasi enam minit 34 saat itu, Kieda berkata, dia baharu mempunyai kekuatan untuk menceritakan kejadian yang menimpanya selepas barang kemas termasuk sejumlah wang tunai lesap dilarikan perompak.

Ketika kejadian dia dan keluarganya baharu pulang ke rumah mereka kira-kira jam 11.40 malam dan mendapati terdapat kelainan di bahagian ruang tamu.

Suaminya kemudian membuat pemeriksaan di bahagian luar rumah dan mendapati tingkap telah diumpil sebelum menyedari sebuah peti besi yang mengandungi barang kemas yang di letakkan di bilik tidur telah dilarikan perompak terbabit

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post