Rupanya ini punca kenapa anak Dharma Harun tak bantu sampai kena halau keluar dari rumah


 Anak bongsu pelakon, Dharma Harun Al-Rashid iaitu Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, mahu menamatkan pengajiannya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) terlebih dulu yang hanya berbaki dua bulan sebelum mencari kerja tetap.

Muhammad Al Syafiq berkata, dia enggan terburu-buru berhenti dari pengajiannya dalam jurusan Asasi Seni Kreatif yang hanya dijangka selesai Ogos ini.

"Saya adalah pelajar cemerlang dan keputusan peperiksaan juga antara yang terbaik. Jadi, saya disarankan oleh pensyarah supaya habiskan pengajian dulu sebelum mencari kerja tetap untuk menampung kewangan keluarga.

"Oleh itu, saya harus bertahan sampai Ogos depan. Insya-Allah, selepas tamat saja pengajian nanti, saya akan cuba dapatkan kerja tetap dan bayar sewa rumah serta bantu ayah dan keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya masalah kewangan dihadapi keluarganya diketahui pihak fakulti, Muhammad Al Syafiq berkata, Dekan Pusat Pengajian Asasi Kreatif Aswara, Dr Erdina Nasseri memahami dan menjadi antara individu yang banyak menghulurkan bantuan.

"Dekan tahu saya ada masalah kewangan dan dia pun banyak membantu hingga segan dibuatnya, termasuk mendapatkan saya bantuan dari Aswara. Secara peribadi, dekan memang banyak bantu saya selama ini.

"Saya juga sebenarnya ada buat kerja sambilan pada sebelah petang dan malam di kafe sebelum ini untuk mencari pendapatan. Cuma, sekarang ada projek akhir pengajian dan susah sikitlah untuk saya bekerja.

"Apapun, saya tak kisah orang nak cakap apa sebab tahu apa yang saya buat dan Allah juga tahu. Ketika saya bekerja dulu, dapatlah juga RM300 sebulan dan digunakan untuk membayar bil eletrik dan air, serta apa-apa yang patut," katanya.

Terdahulu, Dharma, 68, yang popular dengan watak Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja terpaksa akur dengan arahan mengosongkan kediaman yang disewanya di Wangsa Maju, di sini kerana gagal membayar sewa tertunggak.

Pelakon yang kini berhadapan masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar itu difahamkan kusut memikirkan bagaimana dia hendak melunaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM7,500 berikutan notis sudah dikeluarkan oleh pemilik.

Menurut Dharma, dia dan dua anak, iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq diberi tempoh sehingga akhir bulan ini dan sukar untuk melunaskan bayaran kerana anak-anaknya juga tidak bekerja dan masih belajar.

Rentetan itu, timbul persoalan mengapa anak-anak pelakon itu masih tidak habis belajar kerana masing-masing sudah melewati usia 30-an dan sepatutnya sudah bekerja, sekali gus dapat membantu bapa mereka menyelesaikan masalah kewangan ditanggung.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post