Tragedi keropok! 2 beradik kritikal di hospital, rupanya ada racun tikus


 DUA kanak-kanak lelaki dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus, dalam kejadian pada Ahad.

Difahamkan, mangsa yang merupakan adik-beradik berusia dua dan tiga tahun itu mengambil makanan tersebut yang tergantung pada pagar kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim di Kedah.

Kejadian itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi.

Beliau berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa berusia 25 tahun yang melihat anaknya muntah di rumah sebelum membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan kemudian ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Hasil siasatan mendapati dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera tergantung di dawai besi pagar kebun itu yang mengandungi racun bagi tujuan memerangkap monyet.

"Kedua-dua mangsa dipercayai membuka dan makan makanan ringan itu.

"Ibu mangsa kemudian melihat anak mereka muntah dan mulut berbuih di rumah pada pukul 11 pagi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Azizul, kedua-dua beradik yang berada dalam keadaan kritikal kemudian dirujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Beliau memberitahu, kebun tersebut dipercayai milik penduduk yang terletak berhampiran rumah mangsa.

Sehubungan itu katanya, pihaknya sedang mengesan pemilik kebun yang disyaki jiran mangsa untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-Kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post